25/06/2009

tribute untuk kita

Saya gelarkan minggu ni “Fatrah imtihan”.Imtihan atau peperiksaan bukan pada lisan dan tulisan tapi pada ujian Allah yang datang bersilih-ganti..Darjah kekecewaan yang tak terhitung.Semangat yang serasa sudah terbang melayang.”Allah…Hebat sungguh ujian ni”hanya kalimah tu yang mampu saya lafazkan.

Namun, tidak terus ingin diburu rasa sedih dan pedih.Tidak betah melayan usikan syaitan laknatullah yang bersorak riang saat anak adam seakan putus asa dari rahmatNYA… hati terus mencari penawar.Saya selak lembaran suci, merenung ayat-ayat itu.

“Ataukah kamu mengira bahwa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu(cobaan) seperti (yang dialami) orang-orang terdahulu sebelum kamu.Mereka ditimpa kemelaratan, penderitaan dan diguncang (dengan berbagai cobaan), sehingga Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya berkata, “ bilakah datang pertolongan Allah?” Ingatlah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat.” (Al-Baqarah:214)

Susuri pula perjuangan insan agung.. Baginda Rasulullah yang tak pernah mengalah saat dakwahnya tidak diendah.Taif menjadi saksi betapa insan ini tabah menyeru umat walau berkocak darah di dalam kasut dek lontaran batu, walau cerca nista menjadi halwa telinga.

Khabab bin al-Arat, sahabat Nabi juga dikisahkan pernah dipaksa memakai baju besi, disuruh berbaring di atas pasir dan diheret ke atas timbunan bara api hingga lemak-lemak dan darah yang mengalir di badannya memadamkan bara-bara api.Namun, seinci pun tidak berundur dari medan juang.




Saat hati mencari hikmah di sebalik mehnah, ada mesej singgah di inbox…..

“Belajar terima taqdir dengan tenang..jalan dakwah tidak pernah dihampar dengan permaidani merah..kepayahan dan kesulitan itu adalah manisan perjuangan..yang pahit itulah perjuangan kerna yang manis itu syurga idaman”


Dan…….saya mula meyakinkan hati ada hikmah yang ingin Allah sampaikan.
bila program yang dirancang berbulan lamanya tidak dapat diteruskan,.Berpanas berhujan, sakit dan demam diredah semata-mata ingin menyempurnakan gerak kerja dakwah, namun kuasa ALLAH mengatasi segalanya.

Mungkin di waktu dan tika ini, ingin diuji sejauh mana keihklasan hati.
Juga ingin diuji sabar dan tabahkah aku mengatur langkah seorang daie..
Mungkin juga ingin diuji sejauh mana pergantungan dan tawakal pada Allah setelah semaksimumnya usaha dicurahkan.



Dan hikmah yang paling bermakna pada ukhwah yang terbina di antara ajk pelaksana.Susah-senang masing-masing merasa.Bagaikan adik-beradik, saling menguatkan antara satu sama lain saat dilanda hiba.Antara kami mungkin tidak pernah kenal lansung.Bersua di kampus namun tak pernah bertegur sapa(saya sangat teruk..huhu:().Namun, bila bergerak kerja bersama..tembok penghalang antara batch terus hilang.Indahnya ukhwah bila bertemu dan berpisah di jalan Allah.Nostalgia dan kenangan yang tak kan saya lupa.

Buat adik-adik dan sahabat-sahabat, kalian adalah terbaik!.Tahniah dan seinfiniti terima kasih atas usaha dan semangat yang telah ditunjukkan.Mohon maaf segala ketelanjuran.Teruskan langkah perjuangan yang telah kita nukilkan bersama.

“ Kerana jalan dakwah itu bukan mudah, bukan dihampar permaidani mErah..Maka hati harus tabah, langkah perlu teguh menyusuri perjalanan panjang memburu syurga dan redha Allah….Teruslah kalian bertabah”

Kita merancang, Allah merancang namun Allah sebaik-baik perancang:)

21/06/2009

Menjejak hidayahNya

Dia sudah berhijrah.360 darjah berubah menjadi dia yang baru.Dulu, hidupnya seakan tidak bermakna.Sehari-hari hanya tahu nak 'berenjoy'.Ke sekolah atas dasar paksaan semata-mata.Solat lima waktunya masih lompang.Berkantung nasihat singgah ke corong telinga namun hanya seperti mencurahkan air ke daun keladi.Hatinya sekeras batu.Dia yang saya kenali menjadi buah mulut kerana onar dan masalah yang selalu ditimbulkan.

Tapi, itu cerita silam.Dia yang baru betul-betul meninggalkan bekas di hati.Dia yang rajin mengisi saff solat jemaah di masjid mahupun surau.Tak kurang menjadi tetamu majlis agama.Dia yang semakin tekun di medan akademik.Dia yang sudah pandai bertazkirah.Mengingatkan jiwa yang lupa perihal cinta kepada Allah. Tiada apa yang dihajatkan dirinya melainkan ingin menjadi penyejuk hati ayahbonda, penawar keluarga.Alhamdulillah syukur..:)

Begitulah lumrah insan.Bila hati disinari hidayah Allah, tiada yang lebih agung melainkan cinta dan rindu kepada Allah.Hati yang gelap bertukar cerah.Yang layu kembali segar bersemangat.Ibarat bandar Madinah yang kembali bercahaya usai kedatangan baginda Rasulullah membawa risalah dakwah.Hidup tanpa tuntunan hidayah dari Allah ibarat mayat hidup.Jasad berjalan namun rohnya kosong.
Subhanallah, hebatnya kuasa hidayah Allah!

Hidayah atau petunjuk hadiah bermakna dari Allah buat hamba-hamba yang dikehendaki.Namun, seperkara yang harus diperhalusi.Hidayah tidak datang bergolek.Hidayah harus dicari.Mencarinya melalui pelbagai cara dan wasilah.Beriltizam dengan ibadat umpamanya solat dan tilawah Al-Quran.Melazimi doa memohon petunjuk dari Allah.Di samping bersahabat dengan teman-teman yang soleh dan mendampingi para ulama'.

"Wahai Tuhan kami, janganlah Engkau pesongkan hati kami sesudah Engkau berikan petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami rahmat dari sisi-Mu.Sesungguhnya Engkau Maha Pemberi kurnia." (Surah Ali-Imran:8)

Jom bermujahadah mencari hidayah Allah!

13/06/2009

Dalam kenangan

Berita yang baru diterima daripada beberapa orang sahabat.Tokoh gerakan islam yang telah banyak menabur jasa dan bakti,Syeikh Fathi Yakan telah pun kembali ke rahmatullah.
Berita selanjutnya di sini
http://www.ikhwan-jor.com/

Sungguh, terkejut dan tersentak.Terasa baru lagi dikejutkan dengan pemergian saudara Ammar Zulkifli.Sahabat sebatch di DQ.

Kematian itu pasti.Hari ini mereka.Dan kita?Esok lusa tak mustahil kita pula yang menyusul.Sama-sama kita ambil ibrah dan iktibar.Semoga tatkala dipanggil menghadap illahi, kita mampu tersenyum tenang.Setenang dan sesegar wajah seorang syuhada'.Pulang ke rahmatullah dalam keadaan diredhai penduduk bumi, dinanti-nanti penduduk langit..Insyaallah

12/06/2009

Menangislah

Ramai yang menangis.Menangis bila berpisah dengan insan tersayang.Menangis bila penyanyi pujaan terkeluar dari Akademi Fantasia.Bercucuran juga air mata keluar bila si hero dalam filem hindustan mati ditembak.

Namun,sayangnya tidak ramai yang menangis tatkala dahi mencecah sejadah.Hanya sedikit yang teresak-esak bila lisan melantunkan kalamullah.Betapa susahnya mengalirkan air mata bila diri terasa berjauhan dari Allah.




Ketahuilah,sangat beruntung orang-orang yang menangis kerna takutkan Allah.Tidak sia-sia air mata yang jatuh, bahkan mendapat beberapa fadhilat,antaranya:

Berada di bawah naungan Allah pada hari akhirat.
Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud:
"Tujuh golongan yang akan dinaungi Allah pada saat tidak ada naungan selain dari naunganNya, di antaranya ialah seseorang yang berzikir kepada Allah dalam keadaan sendirian, dan menangis kerananya"

Bebas dari azab Allah.
Rasulullah S.A.W bersabda:
"Dua jenis mata yang tidak disentuh oleh api neraka, mata yang menangis kerana takut kepada Allah dan mata yang berjaga malam kerana berjuang dijalan Allah" (H.R Tarmizi)


Berada di bawah limpahan kasih Illahi
Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud:
"Tidak ada yang lebih dicintai Allah dari dua titis dan dua bekas; titis air mata kerana takut kepada Allah dan titis darah yang tertumpah di jalan Allah.Dua bekas tersebut adalah bekas berjihad di jalan Allah dan bekas dalam kewajipan yang Allah wajibkan(Solat berjemaah)" (H.R Tarmizi)


Betapa hebatnya dan bermakna titis air mata yang jatuh kerana mencari redha Illahi.Titis air mata yang mampu membakar bahang api neraka,menjadi saksi bahawa kita benar-benar hamba yang mengabdi diri pada Dia.

Maka, jangan dibazirkan lagi air mata pada Akademi Fantasia,filem hindustan atau cerekarama tv3.Bersungguh-sungguhlah menangis bila menghadap Dia.Andai gagal,sama-sama periksa hati kita!Mungkin hati keras membantu, hingga tak mampu tunduk merendah diri di hadapan Allah yang Maha Agung...Nauzubillah...

08/06/2009

"Datuk segala setan"

Dua hari lepas saya sempat menangkap berita yang menghiasi muka depan harian metro.Perihal kebobrokon masyarakat sekarang.Sebahagian dari petikan akhbar:

"TELUK INTAN: ‘Datuk segala setan’ gelaran paling tepat diberikan kepada seorang lelaki yang tergamak menjadikan cucu perempuannya berusia lima tahun sebagai tempat memuaskan nafsu buasnya selama hampir tiga minggu sejak awal bulan lalu.

Lebih memalukan, warga emas berusia 66 tahun berhati binatang itu juga sanggup mempelawa tiga rakan, termasuk seorang anak angkat yang tinggal bersamanya untuk ‘meratah’ tubuh kanak-kanak itu di rumahnya di Langkap, dekat sini.

Perbuatan kejam keempat-empat suspek selama hampir tiga minggu hanya berakhir apabila disedari seorang jiran yang menyedari perubahan fizikal dan mental mangsa"


Hati diruntun pilu dan sedih mengenangkan nasib si kecil yang tidak mengerti apa-apa.Tak kurang juga rasa geram pada si datuk yang sanggup menjadikan darah daging sendiri sebagai tempat untuk memuaskan nafsunya.

Dunia sekarang memang sudah tidak selamat.Melepaskan anak-anak kecil bermain di luar ditakuti terdedah pada bahana kes jenayah, rogol, culik dan bermacam-macam lagi.Membiarkan mereka di dalam rumah juga tidak selamat.Terdedah pada pengaruh media yang banyak onarnya.Sebagai contoh, televisyen yang 24 jam tak henti-henti menyajikan hiburan di samping filem dan drama yang padat dengan aksi-aksi lucah dan seram.Banyaknya program realiti tv yang menjadikan anak muda khususnya 'gila' untuk menjadi penyanyi dan pelakon.


Aduhai Malaysia negara islam.....Sampai bila agaknya kita terus begini?Membiarkan musuh-musuh islam berterusan menyuntik Ghazwul Fikr(serangan pemikiran)dalam bentuk budaya berhibur yang melampau-lampau.Ibarat anai-anai yang dalam senyap mampu meruntuhkan sebuah rumah, musuh-musuh islam dalam tidak kita sedari sedang rancak menjajah jiwa dan minda.Dan kita?..............