21/06/2009

Menjejak hidayahNya

Dia sudah berhijrah.360 darjah berubah menjadi dia yang baru.Dulu, hidupnya seakan tidak bermakna.Sehari-hari hanya tahu nak 'berenjoy'.Ke sekolah atas dasar paksaan semata-mata.Solat lima waktunya masih lompang.Berkantung nasihat singgah ke corong telinga namun hanya seperti mencurahkan air ke daun keladi.Hatinya sekeras batu.Dia yang saya kenali menjadi buah mulut kerana onar dan masalah yang selalu ditimbulkan.

Tapi, itu cerita silam.Dia yang baru betul-betul meninggalkan bekas di hati.Dia yang rajin mengisi saff solat jemaah di masjid mahupun surau.Tak kurang menjadi tetamu majlis agama.Dia yang semakin tekun di medan akademik.Dia yang sudah pandai bertazkirah.Mengingatkan jiwa yang lupa perihal cinta kepada Allah. Tiada apa yang dihajatkan dirinya melainkan ingin menjadi penyejuk hati ayahbonda, penawar keluarga.Alhamdulillah syukur..:)

Begitulah lumrah insan.Bila hati disinari hidayah Allah, tiada yang lebih agung melainkan cinta dan rindu kepada Allah.Hati yang gelap bertukar cerah.Yang layu kembali segar bersemangat.Ibarat bandar Madinah yang kembali bercahaya usai kedatangan baginda Rasulullah membawa risalah dakwah.Hidup tanpa tuntunan hidayah dari Allah ibarat mayat hidup.Jasad berjalan namun rohnya kosong.
Subhanallah, hebatnya kuasa hidayah Allah!

Hidayah atau petunjuk hadiah bermakna dari Allah buat hamba-hamba yang dikehendaki.Namun, seperkara yang harus diperhalusi.Hidayah tidak datang bergolek.Hidayah harus dicari.Mencarinya melalui pelbagai cara dan wasilah.Beriltizam dengan ibadat umpamanya solat dan tilawah Al-Quran.Melazimi doa memohon petunjuk dari Allah.Di samping bersahabat dengan teman-teman yang soleh dan mendampingi para ulama'.

"Wahai Tuhan kami, janganlah Engkau pesongkan hati kami sesudah Engkau berikan petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami rahmat dari sisi-Mu.Sesungguhnya Engkau Maha Pemberi kurnia." (Surah Ali-Imran:8)

Jom bermujahadah mencari hidayah Allah!

No comments:

Post a Comment